Mencari sesuatu? Taipkan di sini kemudian tekan search

Custom Search

Tuesday, December 22, 2009

Pusaka pasangan tanpa zuriat

Pusaka pasangan tanpa zuriat

Satu pasangan yang tidak mempunyai zuriat menjual satu hektar tanah dan membahagikan wang jualan sama rata. Wang berkenaan disimpan ke dalam akaun Tabung Haji yang berasingan.

Oleh kerana tiada anak, mereka menamakan pasangan sebagai penama (pewaris). Maknanya suami meletakkan nama isteri dan sebaliknya.

Kini si suami sudah meninggal dunia dan mempunyai seorang adik lelaki.

Soalan saya: Apakah kedudukan wang si suami tadi? Adakah si isteri berhak sepenuhnya ke atas wang di dalam akaun arwah suaminya (berdasarkan penama waris).

Jika si isteri tidak mempunyai hak, adakah dia boleh menuntutnya sebagai harta sepencarian? Adakah si adik tidak mempunyai bahagian langsung di dalam wang berkenaan?

ABDULLAH ZIYADI IBRAHIM, Kota Bharu


Perlu membezakan antara harta pusaka dan wasiat. Jika suami atau simati menamakan isteri sebagai pewaris sebahagian hartanya, ini bererti wasiat. Wasiat wajib dituruti. Mana-mana harta lain yang tidak dinamakan atau diwasiatkan jika warisnya cuma isteri dan adik lelaki maka harta itu dibahagikan kepada ¼ untuk isteri dan ¾ untuk adik lelaki selepas ditolak hutang dan harta sepencarian milik isteri.


Kaedah wasiat cara mulut

MyMetro

SOALAN


SAYA ingin bertanya mengenai harta pusaka. Ibu saudara saya meninggal dunia beberapa bulan lalu dan menyerahkan ladang berharga lebih kurang RM60,000 atas nama sepupu saya (lelaki).

Dia juga mewasiatkan supaya diagihkan kepada abangnya iaitu ayah saya (separuh) dan selebihnya kepada anak saudara yang lain yang sudah kematian ayah.

Wang dalam akaun Tabung Haji adalah di atas nama arwah dan suaminya diwasiat (wasiat mulut) supaya diberi separuh kepada abang sulungnya (ayah saya). Adakah wasiat secara percakapan ketika dia sakit dulu boleh digunakan? Adakah halal jika kami menggunakan wang berkenaan?

Ibu saudara saya mempunyai dua anak angkat yang dibintikan dengan nama suami pertamanya dulu. Mereka juga menuntut harta pusaka lain dan barang kemas yang bernilai kira-kira RM10,000.

Suami keduanya dan ayah saya memberitahu mereka anak angkat tetapi mereka tidak percaya kerana tiada bukti. Bagaimanakah kami dapat menyelesaikan soal tuntutan harta ini?

CHE RASIMIN
Pahang

JAWAPAN


Wang yang diserahkan ketika masih hidup ialah hibah atau hadiah. Ia menjadi milik kepada yang dihadiahkan dan tidak boleh dikira pusaka. Wang wasiat pula wajib diagihkan menurut apa yang yang dipesan oleh simati tanpa boleh diubah.

Wasiat secara mulut mestilah mempunyai bukti dan saksi yang kukuh. Selepas diperakui warisnya, bahagilah mengikut wasiat berkenaan. Anak angkat tidak layak menerima harta pusaka.

Menjadi tanggungjawab keluarga yang tahu memaklumkan pada mereka kerana berdosa jika mereka masih menuntut harta berkenaan yang mana mereka tidak berhak terhadapnya.

Justeru dalam agama kita menuntut supaya anak angkat dimaklumkan kedudukan mereka dan tidak dibintikan pada bapa angkat bagi mengelakkan perkara seumpama ini berlaku.

Harta pusaka nenek nyanyuk

myMetro » DrMashitah

Harta pusaka nenek nyanyuk

AYAH saya sudah meninggal dunia, meninggalkan seorang isteri dan dua anak lelaki, lima anak perempuan dan ibu kandung beliau (nenek saya). Sekarang kami membuat proses pembahagian harta secara faraid. Menjadi persoalannya ialah nenek saya sudah nyanyuk dan hilang keupayaan untuk menguruskan dirinya.

Nenek saya hanya mempunyai seorang anak (ayah saya yang sudah meninggal dunia) dan seorang adik perempuan. Disebabkan nyanyuk, adakah nenek saya hilang kelayakan dalam pembahagian harta pusaka arwah ayah saya? Bagaimana dengan harta nenek saya, siapa paling layak mentadbir harta beliau cucu atau adik perempuannya?

Sebelum nyanyuk, nenek saya pernah menyatakan dan berpesan harta dan wang beliau diberi kepada orang yang menjaga beliau saja.

Di sini orang yang menjaga beliau adalah ibu saya (menantu) dan cucu perempuan. Jadi adakah kata-kata ini boleh dijadikan wasiat?

SUHANA Kuantan, Pahang


Syarat bagi orang yang layak mewarisi harta ialah dia masih hidup. Dalam hal ini nenek masih hidup, cuma dia nyanyuk. Maka haknya sebagai pewaris tidak gugur dalam pusaka berkenaan. Jika dia nyanyuk, boleh diserahkan kepada orang yang menguruskan, menjaga dan mentadbir dirinya.

Siapa yang menguruskan nenek dan menjaganya, dia layak mentadbir harta berkenaan untuk keperluan nenek. Apa saya faham di sini ialah nenek saudari berpesan supaya hartanya diberi pada orang yang menjaga atau wasiatnya hanya boleh diambil kira apabila dia meninggal dunia kelak maknanya jika dia mati baru harta tersebut diserahkan pada orang yang diwasiatkan.

Siapa yang menjaga nenek sekarang, itulah orang yang layak diserahkan untuk mentadbir harta nenek. Maksud mentadbir ialah menggunakan harta berkenaan untuk keperluan nenek selama dia masih hidup dan bukan digunakan untuk peribadi orang yang mentadbir.


Status wasiat berbeza agama

Status wasiat berbeza agama

SOALAN

SAYA adalah saudara baru yang memeluk agama Islam pada 2002. Seorang lagi adik saya juga memeluk Islam tetapi dia melakukannya lebih awal daripada saya.

Kini kakak saya ingin membuat wasiat untuk mengagihkan hartanya, tetapi beliau dinasihatkan oleh peguam supaya tidak memasukkan nama kami berdua yang beragama Islam.

Nasihat beliau itu disebabkan undang-undang syariah tidak akan membenarkan kami menikmati sepenuhnya harta pemberian kakak kami.

Ini kerana mengikut undang-undang syariah, suami kami akan mendapat hak yang lebih terhadap harta berkenaan.

Disebabkan nasihat itu, kami berdua tidak dinamakan sebagai pewaris harta itu.

Jika ditakdirkan sedemikian, saya reda dan terima keputusan itu seadanya.

Namun persoalan saya, adalah benarkan undang-undang syariah mempunyai peruntukan seperti itu?

NUR
Seremban

JAWAPAN


Jika saudara bukan Islam ingin memberi kepada saudaranya yang berlainan agama daripada hartanya sebagai hadiah atau pemberian, dia boleh berbuat demikian dan harus menerimanya begitu juga sebaliknya daripada saudara Islam kepada saudaranya yang bukan Islam.

Selama dia masih hidup dan sebagai hadiah adalah dibolehkan. Yang tidak boleh ialah apabila menjadi pusaka sebagai penerima faraid saja. Harta seorang isteri adalah menjadi milik dirinya dan bukan milik suaminya.

Cuma selepas dia mati jika tidak diwasiatkan hak suami sebanyak ½ jika tiada anak atau ¼ jika ada anak memang ada dalamnya tetapi bukan semuanya terus menjadi milik suami. Islam agama adil dan tidak menganiaya mana-mana pihak.

Guna wang pusaka upah haji si mati

Guna wang pusaka upah haji si mati

SOALAN

ADAKAH wajib bagi seorang waris mengupah haji untuk ibu bapa atau saudaranya yang meninggal dunia dengan menggunakan peninggalan wang pusaka si mati?

Adakah ini dikira sebagai hutang kepada Allah yang wajib ditunaikan terlebih dulu sebelum harta pusaka berkenaan difaraidkan? Minta dalil sahih, jika ada.

HAMBA ALLAH
Bangi

JAWAPAN


Apabila seseorang itu meninggal dunia sebelum mengerjakan haji, gugur kewajipan berkenaan daripadanya. Tidak perlu menyisihkan harta peninggalannya untuk upah haji, kecuali jika ia wasiat si mati.

Bagaimanapun, anak atau waris boleh mengupah haji untuk si mati. Bagi waris yang hendak menunaikan haji untuk keluarga, hendaklah dia terlebih dulu menunaikan fardu haji untuk dirinya sendiri dengan sempurnanya, sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Daripada Ibnu Abbas ra bahawa Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki berkata ketika mengerjakan haji: ‘Aku sahut seruan mengerjakan haji menggantikan Syubrumah’. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya: ‘Sudahkah engkau mengerjakan haji untuk diri engkau sendiri?’ Jawab lelaki itu, ‘Belum’.

Rasulullah bersabda: “Kalau begitu, hendaklah engkau kerjakan haji untuk diri engkau sendiri dulu, kemudian engkau kerjakan haji untuk Syubrumah pula.” (Riwayat-Abu Daud dan Ibnu Majah)

Hutang yang wajib dilangsaikan ialah seperti hutang wang ringgit dan hutang puasa yang tertinggal, eloklah dilangsaikan oleh warisnya. Selepas itu bolehlah dibahagikan hartanya mengikut faraid jika tiada wasiat.

Satu Keluarga Satu Syarikat kaedah terbaik elak masalah pembahagian harta pusaka

Satu Keluarga Satu Syarikat kaedah terbaik elak masalah pembahagian harta pusaka

Oleh Abdul Halim Yusof
halem@bharian.com.my

SEPERTI sudah menjadi kepercayaan umum bahawa harta yang dikumpulkan seseorang akan habis sampai ke tahap generasi ketiga atau cucu saja. Kalaupun tidak disebabkan diperhabis anak cucu, pembahagian harta pusaka juga menyebabkan pegangan kekayaan dan harta sesebuah keluarga itu menyusut selepas generasi ketiga.

Sesungguhnya, keadaan penguncupan harta hingga dalam banyak keadaan lain menyebabkan berlaku pertelingkahan keluarga kerana masalah pembahagian dan kesukaran menukar nama berikutan waris yang ramai di atas harta yang tidak sebesar mana, mengundang banyak masalah.

Sebenarnya banyak kaedah lain boleh dilakukan dengan kekayaan atau harta sesebuah keluarga dapat dipertahankan tanpa menimbulkan masalah pembahagian di kalangan anak cucu hingga menyebabkan ramai antara mereka akhirnya bertelagah.


Antara kaedah paling mudah disempurnakan ialah menerusi penubuhan syarikat dan pemilikan saham di kalangan waris terhadap sesuatu harta atau estet mereka. Justeru, inisiatif yang diperkenalkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menerusi kempen Satu Keluarga Satu Syarikat (1K1S) adalah antara kaedah terbaik mengelak masalah pembahagian harta pusaka di kalangan waris dan pada masa sama, program ini akan meningkatkan pemilikan ekuiti terutama di kalangan Bumiputera.

1K1S yang bersandarkan kepada konsep 'Pewaris Penjana Pendapatan Berterusan Keluarga' dizahirkan untuk mencapai tiga matlamat utama iaitu meningkatkan pendedahan dan penghayatan budaya niaga, peningkatan pegangan ekuiti nasional Bumiputera dan pengagihan harta warisan dengan lebih saksama. Kewujudan 1K1S membolehkan ahli sesebuah keluarga mengetahui dengan lebih dekat dan secara praktikal mengenai dunia persyarikatan.

Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) SSM, Rokiah Mohd Noor, berkata pendekatan 1K1S sangat relevan kepada keluarga yang belum mempunyai atau tidak pernah memiliki syarikat sebelum ini.

"Kehadiran sebuah syarikat induk yang diberi amanah untuk menyimpan dan menjaga hartanah keluarga akan melahirkan semangat 'sayang' kepada syarikat ini dan pentingnya syarikat ini dipelihara untuk kepentingan bersama dalam keluarga," katanya.

Menerusi pemilikan saham dalam sebuah syarikat yang memegang aset sesebuah keluarga, perasaan sayang terhadap milikan bersama itu akan menjadikan pemilik syarikat lebih prihatin dengan menganggap dan menjaga syarikat seperti menjaga diri sendiri.

Selain mengelak krisis keluarga berikutan masalah pembahagian harta pusaka, 1K1S juga bermatlamat meningkatkan pegangan ekuiti nasional Bumiputera. Justeru, semakin banyak keluarga yang menyertai 1K1S, semakin banyaklah nilai hartanah Bumiputera yang direkodkan secara rasmi dalam simpanan setiausaha syarikat dan SSM. Ini bermakna sumbangan program ini kepada pegangan ekuiti nasional Bumiputera juga akan turut meningkat dengan ketara.

Apabila semua nilai hartanah menjadi pemilikan syarikat dalam bentuk sijil yang dipegang ahli keluarga, masalah rumit seperti pembahagian harta kepada pewaris mengikut hukum faraid selepas kematian pemilik harta, tidak berlaku.

Paling penting ia turut dapat mengelak perselisihan faham atau pergaduhan yang mungkin berlaku di kalangan pewaris jika nilai hartanah tidak dapat diagihkan secara adil dan saksama. Keadaan ini juga akan mengelak hartanah terbahagi kepada bahagian kecil dan menjadikannya tidak ekonomik untuk dibangunkan.

Dalam perkembangan berkaitan, kita tahu bahawa tidak semua terutama Bumiputera mewarisi harta pusaka yang banyak hingga mewajarkan mereka menubuhkan syarikat. Justeru, dalam keadaan sebegini satu lagi cara terbaik untuk menyemarakkan pendapatan rakyat adalah menerusi kegiatan koperasi.

Masyarakat Malaysia daripada setiap lapisan dan golongan termasuk di luar bandar hendaklah disedarkan dan digalakkan untuk menyertai koperasi bagi mengubah cara pendedahan mereka dalam bidang perekonomian.

Selain meminjam wang untuk melaksanakan perniagaan kecil atau pinjaman peribadi bagi mengelakkan ahli berhutang daripada along, koperasi perlu dikembangkan untuk turut terbabit dalam kegiatan perekonomian seperti perusahaan pembuatan serta terbabit dalam pemilikan kepentingan ekuiti syarikat besar terutama di kalangan senaraian awam.

Dalam hal inilah perlunya lonjakan paradigma dengan pengurusan koperasi hendaklah disandang golongan profesional bagi mengubah hala tuju badan ekonomi itu pada masa depan.

Seperti diakui Ketua Unit Pentadbiran Koperasi Kakitangan Kerajaan Terengganu Bhd (Kokitab), Mohd Abdillah Abu Bakar, koperasi adalah wadah paling berkesan menyemarakkan kegiatan perekonomian di kalangan masyarakat di peringkat akar umbi.

"Koperasi kini bukan lagi sekadar untuk pinjaman segera bagi ahli yang terdesak, tetapi ia perlu dirumus dan dipacu untuk menjadi ejen membina kekayaan ahli menerusi kegiatan pelaburan, perusahaan atau terbabit dalam pegangan ekuiti dalam konglomerat," katanya yang mengendalikan antara koperasi tertua di Malaysia itu.

Sejak koperasi pertama didaftarkan The Federated Malay States Posts and Telegraphs Cooperative Thrift and Loan Society Limited (1922) dan koperasi rakyat pertama iaitu Syarikat Bekerjasama-sama Kampung Tebuk Haji Musa, Kerian, gerakan koperasi kini sudah berkembang menjadi satu bidang yang mempunyai aset terkumpul lebih RM55.7 bilion daripada lebih 6,000 koperasi yang disertai lebih enam juta ahli.

Untuk membantu golongan miskin tegar menerusi koperasi, kerajaan atau agensi yang berkaitan boleh memainkan peranan dengan menyuntik modal saham yang bersesuaian bagi pihak mereka dengan pembayaran balik dipecah bahagi daripada dividen yang diperoleh menerusi pelaburan mereka.

Memang kita tidak boleh menghasilkan jutawan segera, tetapi menerusi kaedah ini kita dapat merumus kaedah membantu golongan miskin dengan memberi kail, bukan ikan. Modal saham yang disuntik kerajaan boleh juga dijadikan asas cagaran untuk ahli berkenaan meminjam dana bagi memulakan perusahaan kecil atau menambah pendapatan mereka.

Ketepi nama suami dalam wasiat


SOALAN

SAYA sudah bernikah selama tiga tahun dan belum dikurniakan zuriat. Saya mempunyai sedikit harta dan wang simpanan.

Hubungan saya dengan suami agak dingin kerana dia tidak bertanggungjawab.

Dia tidak pernah memberi nafkah (zahir) kepada saya selama saya hidup bersamanya (hatta sehelai sapu tangan pun tidak pernah dibelikan untuk saya).

Malah dia pernah mencuri wang simpanan saya. Dia juga mengaku pernah berzina dengan wanita lain. Segala kelengkapan rumah, termasuk sewa rumah dan barang dapur, dibiayai oleh saya kerana suami lepas tangan dalam hal begini.

Disebabkan itu saya mengambil keputusan (menulis wasiat) melalui Amanah Raya dengan mewasiatkan rumah saya pada ibu dan simpanan serta lain-lain harta saya kepada adik perempuan saya (saya tiada saudara lelaki) untuk menguruskannya dengan sebaik mungkin.

Soalan saya, jika saya meninggal dunia:

1. Adakah suami saya berhak ke atas harta saya walaupun saya sudah wasiatkan pada ibu dan adik?

2. Adakah berdosa jika saya mengharamkan suami mengambil harta saya (disebabkan sikap tidak bertanggungjawabnya pada saya)?

3. Adakah wasiat saya itu boleh diguna pakai walaupun saya tidak mengikut hukum faraid?

AIDA
Alor Setar, Kedah


JAWAPAN

Seorang suami tetap mempunyai haknya terhadap harta isteri. Wasiat yang ditinggalkan mestilah wasiat yang baik supaya penerima wasiat yang layak menerima tidak dizalimi dan dianiayai dengan wasiat yang memudaratkan.

Bagaimanapun, harta puan boleh dibahagikan pada harta sepencarian dan harta puan sendiri dulu. Harta milik puan boleh diwasiatkan pada ibu dan adik.

Jika suami berhutang nafkah dengan puan, hendaklah dimaklumkan dulu supaya dia menjelaskan hutangnya sebelum dia boleh mendapat bahagian harta berkenaan. Harus bagi orang Islam meninggalkan wasiat sebelum mati.

Jika sudah ada wasiat yang tidak memudaratkan, maka yang terpakai ialah wasiat dan bukan faraid. Sebaik-baiknya selesaikan masalah puan bermula sekarang.

Jika suami tidak langsung bertanggungjawab, puan boleh menuntut hak puan dulu di mahkamah sebelum dia menuntut hak suami bila puan meninggal dunia nanti. Dengan cara ini puan ada hak untuk menuntut suami membayar hutangnya terlebih dulu pada puan.

Jika sudah dihibah, tidak perlu lagi difaraidh


Jika sudah dihibah, tidak perlu lagi difaraid

SAYA ingin bertanya berkenaan hibah dan faraid. Adakah saya boleh memberi hibah kepada anak saya secara sama rata lelaki dan perempuan?

Jika harta hibah berupa aset seperti rumah, adakah peningkatan nilai semasa menjadi ukuran? Harta yang dihibahkan adakah masih perlu difaraid? Minta penjelasan ustazah.

MAS

Johor Bahru

Hibah antara kaedah penting dalam perancangan harta menurut undang-undang Islam. Begitu juga dengan kaedah lain seperti wasiat.

Bagi seorang yang mati dengan tidak meninggalkan wasiat atau menghibahkan hartanya, hartanya akan dibahagi mengikut faraid yang biasa kerana dia tidak merancang hartanya.

Hibah ialah pemberian harta yang berlaku ketika masih hidup dan wasiat ialah pemberian harta yang berlaku selepas mati.

Kedua-dua kaedah ini harus dalam agama iaitu jika dilaksanakan dengan baik, adil dan selaras dengan kehendak syarak, ia boleh mengelak berlaku pertikaian dan perebutan harta.

Harus hibah secara sama rata pada anak, tetapi bersikap adil dalam pemberian mengikut harga semasa. Sebahagian orang Islam menganggap harta wajib dibahagikan melalui faraid saja, sedangkan sebenarnya faraid hanya digunakan bila simati tidak merancang hartanya sebelum mati. Jika sudah dihibah, tidak perlu lagi difaraid.

Bahagi RM5.4j secara faraid


SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam menetapkan 13 Januari tahun depan untuk kes pelakon dan model, Sharmaine Farouk Ahmad Farouk bagi pembahagian harta secara faraid berhubung harta bapanya, Allahyarham Tan Sri Ahmad Farouk Isahak yang bernilai lebih RM5.4 juta.

Hakim Syarie Muhammad Adib Husain menetapkan tarikh itu bagi pelakon berkenaan memanggil dua saksi termasuk abang serta kakaknya untuk memberi keterangan di mahkamah.

Peguam syarie, Ahmad Nazib Johari, yang mewakili Sharmaine Farouk, 38, berkata, kes anak guamnya itu ditangguhkan pada tarikh berkenaan untuk memanggil saksi iaitu kakaknya, Serena dan abangnya, Ahmad Rezal bagi memberi keterangan sebelum mahkamah mengeluarkan perintah bagi menentukan hak mereka.

“Permohonan secara faraid itu susulan permohonan pengesahan pemberian harta (hibah) yang lebih setahun menjadi pertelingkahan sebelum semua pihak akur menyelesaikannya secara faraid.
“Anak guam saya memfailkan permohonan faraid itu pada 5 November lalu bagi harta peninggalan membabitkan wang, hartanah, saham dan rumah yang bernilai lebih RM5.4 juta,” katanya.

Menurutnya, arwah meninggal dunia 14 Disember 2005 akibat sakit jantung.

Sebelum ini, Ahmad Rezal anak ketiga daripada enam beradik itu tidak bersetuju dengan pemberian harta secara hibah dan mendakwa ia sengaja diada-adakan kelima-lima plaintif serta menuntut supaya harta berkenaan dibahagikan secara faraid.

Kita wajib melantik penama!!!

Rugi-rugi!!!