Mencari sesuatu? Taipkan di sini kemudian tekan search

Custom Search

Tuesday, December 22, 2009

Satu Keluarga Satu Syarikat kaedah terbaik elak masalah pembahagian harta pusaka

Satu Keluarga Satu Syarikat kaedah terbaik elak masalah pembahagian harta pusaka

Oleh Abdul Halim Yusof
halem@bharian.com.my

SEPERTI sudah menjadi kepercayaan umum bahawa harta yang dikumpulkan seseorang akan habis sampai ke tahap generasi ketiga atau cucu saja. Kalaupun tidak disebabkan diperhabis anak cucu, pembahagian harta pusaka juga menyebabkan pegangan kekayaan dan harta sesebuah keluarga itu menyusut selepas generasi ketiga.

Sesungguhnya, keadaan penguncupan harta hingga dalam banyak keadaan lain menyebabkan berlaku pertelingkahan keluarga kerana masalah pembahagian dan kesukaran menukar nama berikutan waris yang ramai di atas harta yang tidak sebesar mana, mengundang banyak masalah.

Sebenarnya banyak kaedah lain boleh dilakukan dengan kekayaan atau harta sesebuah keluarga dapat dipertahankan tanpa menimbulkan masalah pembahagian di kalangan anak cucu hingga menyebabkan ramai antara mereka akhirnya bertelagah.


Antara kaedah paling mudah disempurnakan ialah menerusi penubuhan syarikat dan pemilikan saham di kalangan waris terhadap sesuatu harta atau estet mereka. Justeru, inisiatif yang diperkenalkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menerusi kempen Satu Keluarga Satu Syarikat (1K1S) adalah antara kaedah terbaik mengelak masalah pembahagian harta pusaka di kalangan waris dan pada masa sama, program ini akan meningkatkan pemilikan ekuiti terutama di kalangan Bumiputera.

1K1S yang bersandarkan kepada konsep 'Pewaris Penjana Pendapatan Berterusan Keluarga' dizahirkan untuk mencapai tiga matlamat utama iaitu meningkatkan pendedahan dan penghayatan budaya niaga, peningkatan pegangan ekuiti nasional Bumiputera dan pengagihan harta warisan dengan lebih saksama. Kewujudan 1K1S membolehkan ahli sesebuah keluarga mengetahui dengan lebih dekat dan secara praktikal mengenai dunia persyarikatan.

Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) SSM, Rokiah Mohd Noor, berkata pendekatan 1K1S sangat relevan kepada keluarga yang belum mempunyai atau tidak pernah memiliki syarikat sebelum ini.

"Kehadiran sebuah syarikat induk yang diberi amanah untuk menyimpan dan menjaga hartanah keluarga akan melahirkan semangat 'sayang' kepada syarikat ini dan pentingnya syarikat ini dipelihara untuk kepentingan bersama dalam keluarga," katanya.

Menerusi pemilikan saham dalam sebuah syarikat yang memegang aset sesebuah keluarga, perasaan sayang terhadap milikan bersama itu akan menjadikan pemilik syarikat lebih prihatin dengan menganggap dan menjaga syarikat seperti menjaga diri sendiri.

Selain mengelak krisis keluarga berikutan masalah pembahagian harta pusaka, 1K1S juga bermatlamat meningkatkan pegangan ekuiti nasional Bumiputera. Justeru, semakin banyak keluarga yang menyertai 1K1S, semakin banyaklah nilai hartanah Bumiputera yang direkodkan secara rasmi dalam simpanan setiausaha syarikat dan SSM. Ini bermakna sumbangan program ini kepada pegangan ekuiti nasional Bumiputera juga akan turut meningkat dengan ketara.

Apabila semua nilai hartanah menjadi pemilikan syarikat dalam bentuk sijil yang dipegang ahli keluarga, masalah rumit seperti pembahagian harta kepada pewaris mengikut hukum faraid selepas kematian pemilik harta, tidak berlaku.

Paling penting ia turut dapat mengelak perselisihan faham atau pergaduhan yang mungkin berlaku di kalangan pewaris jika nilai hartanah tidak dapat diagihkan secara adil dan saksama. Keadaan ini juga akan mengelak hartanah terbahagi kepada bahagian kecil dan menjadikannya tidak ekonomik untuk dibangunkan.

Dalam perkembangan berkaitan, kita tahu bahawa tidak semua terutama Bumiputera mewarisi harta pusaka yang banyak hingga mewajarkan mereka menubuhkan syarikat. Justeru, dalam keadaan sebegini satu lagi cara terbaik untuk menyemarakkan pendapatan rakyat adalah menerusi kegiatan koperasi.

Masyarakat Malaysia daripada setiap lapisan dan golongan termasuk di luar bandar hendaklah disedarkan dan digalakkan untuk menyertai koperasi bagi mengubah cara pendedahan mereka dalam bidang perekonomian.

Selain meminjam wang untuk melaksanakan perniagaan kecil atau pinjaman peribadi bagi mengelakkan ahli berhutang daripada along, koperasi perlu dikembangkan untuk turut terbabit dalam kegiatan perekonomian seperti perusahaan pembuatan serta terbabit dalam pemilikan kepentingan ekuiti syarikat besar terutama di kalangan senaraian awam.

Dalam hal inilah perlunya lonjakan paradigma dengan pengurusan koperasi hendaklah disandang golongan profesional bagi mengubah hala tuju badan ekonomi itu pada masa depan.

Seperti diakui Ketua Unit Pentadbiran Koperasi Kakitangan Kerajaan Terengganu Bhd (Kokitab), Mohd Abdillah Abu Bakar, koperasi adalah wadah paling berkesan menyemarakkan kegiatan perekonomian di kalangan masyarakat di peringkat akar umbi.

"Koperasi kini bukan lagi sekadar untuk pinjaman segera bagi ahli yang terdesak, tetapi ia perlu dirumus dan dipacu untuk menjadi ejen membina kekayaan ahli menerusi kegiatan pelaburan, perusahaan atau terbabit dalam pegangan ekuiti dalam konglomerat," katanya yang mengendalikan antara koperasi tertua di Malaysia itu.

Sejak koperasi pertama didaftarkan The Federated Malay States Posts and Telegraphs Cooperative Thrift and Loan Society Limited (1922) dan koperasi rakyat pertama iaitu Syarikat Bekerjasama-sama Kampung Tebuk Haji Musa, Kerian, gerakan koperasi kini sudah berkembang menjadi satu bidang yang mempunyai aset terkumpul lebih RM55.7 bilion daripada lebih 6,000 koperasi yang disertai lebih enam juta ahli.

Untuk membantu golongan miskin tegar menerusi koperasi, kerajaan atau agensi yang berkaitan boleh memainkan peranan dengan menyuntik modal saham yang bersesuaian bagi pihak mereka dengan pembayaran balik dipecah bahagi daripada dividen yang diperoleh menerusi pelaburan mereka.

Memang kita tidak boleh menghasilkan jutawan segera, tetapi menerusi kaedah ini kita dapat merumus kaedah membantu golongan miskin dengan memberi kail, bukan ikan. Modal saham yang disuntik kerajaan boleh juga dijadikan asas cagaran untuk ahli berkenaan meminjam dana bagi memulakan perusahaan kecil atau menambah pendapatan mereka.

No comments:

Post a Comment