Mencari sesuatu? Taipkan di sini kemudian tekan search

Custom Search

Friday, October 16, 2009

Dialog: Masih ramai umat Islam tidak faham hukum faraid

YANG hidup pasti menemui mati. Bagi yang beragama Islam, apabila berlaku kematian, tiga perkara yang perlu diselesaikan segera oleh waris adalah menunaikan amanah atau wasiat, menyelesaikan hutang piutang dan menuntut serta membahagikan harta si mati yang ditinggalkan.

Sehubungan itu, Pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) melalui Seksyen Pembahagian Pusaka mengorak langkah dengan mengadakan siri ceramah dan dialog pada peringkat daerah di semua negeri.

Tujuannya adalah semata-mata untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya mempercepatkan permohonan pembahagian harta pusaka si mati, bidang kuasa JKPTG, dan tata cara permohonan itu.

Namun begitu, berdasarkan pengetahuan dan pengalaman, jika diteliti masih ramai waris yang beragama Islam tidak begitu memahami jumlah dan batasan hak untuk mewarisi harta mengikut syarak/pembahagian faraid. Pada hal, cara pembahagian harta pusaka bagi yang beragama Islam sememangnya sudah difirmankan oleh Allah dalam surah An-Nisa ayat 10-14. Persoalannya mengapakah ia terjadi?

Antara sebabnya adalah kurangnya tunjuk ajar, kefahaman, pendedahan mahu pun pengetahuan kepada masyarakat Islam di negara ini mengenai hukum syarak/pembahagian Faraid, sehinggakan ada kalangan waris yang mempersoalkan perkara yang terlalu asas mengenai faraid.

Persoalan mereka kenapa perlu mengikut faraid, kenapa pemberian dua bahagian kepada anak lelaki, satu bahagian kepada anak perempuan, hak suami, hak isteri lain yang bercerai mati, hak ibu bapa mertua, baitulmal, saudara lelaki dan saudara perempuan.

Ada pula yang sanggup menidakkan hak orang lain yang sepatutnya berhak mewarisi harta si mati semata-mata mengikut hawa nafsu duniawi, maklumlah tidak mengetahui ilmu berkenaan. Yang paling menyedihkan, oleh kerana tidak berpuas hati dengan bahagian yang diwarisi berdasarkan penentuan mengikut pembahagian faraid ada waris yang sanggup menuduh cara pembahagian itu tidak pernah ada dalam ajaran Islam. Bahkan ada waris yang bertelingkah pendapat dengan pegawai yang dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan pembahagian harta pusaka si mati kerana kadangkala diberikan penjelasan yang tidak tepat atau kurang jelas oleh sama imam, penghulu, ketua kampung atau masyarakat sekeliling.

Sehubungan itu, dicadangkan supaya tokoh agama dan penceramah agama yang diundang untuk memberikan ceramah di masjid, surau atau di majlis yang bersesuaian supaya tidak melupakan topik pembahagian harta mengikut faraid di dalam siri ceramah mereka kepada semua umat Islam tanpa mengira peringkat umur, jantina, pangkat dan kedudukan sama ada di bandar atau di luar bandar.

Bahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri diharapkan agar menjadikan topik pembahagian harta pusaka mengikut faraid sebagai satu isi teks kutbah Jumaat di masjid negara ini. Amat membanggakan sekiranya ilmu faraid dapat dijadikan satu subjek dalam sukatan pelajaran Pengetahuan Agama Islam di peringkat sekolah menengah atau pusat pengajian tinggi. Ini kerana topik itu kurang diberikan perhatian dan semakin dilupakan berbanding isu nikah kahwin, ekonomi umat Islam, perpecahan ummah, ibadah, Rukun Islam dan Rukun Iman yang sering kali disampaikan oleh tokoh dan penceramah agama.

Ini penting supaya setiap orang tahu pecahan bahagian ataupun had dan batasan yang sebenarnya boleh dituntut dari segi syarak dalam mewarisi harta pusaka tanpa mengenepikan hak orang lain. Jika semua masyarakat Islam walau pun hanya mengetahui pada peringkat asas saja mengenai pembahagian faraid harta pusaka, ini akan memudah serta melancarkan urusan perbicaraan dan pengeluaran perintah pembahagian harta pusaka si mati.

Berita Harian 09 April 2001