Mencari sesuatu? Taipkan di sini kemudian tekan search

Custom Search

Monday, August 9, 2010

Pasal harta pusaka - Abang Robohkan Kediaman Adik


Oleh Norliza Wasilan
norlizawasilan@bharian.com
2010/08/09


KEADAAN belakang rumah yang dirobohkan di Kampung Selinsing, Pasir Puteh, pagi kelmarin.
Perselisihan keluarga punca rumah di kawasan tapak tanah pusaka diruntuh

PASIR PUTEH: Konflik keluarga menyebabkan seorang lelaki mengambil tindakan merobohkan sebahagian rumah adik perempuannya menggunakan jengkaut bagi mengosongkan kawasan terbabit kerana dibina dalam lot tanah miliknya di Kampung Selinsing, dekat sini, pagi kelmarin.Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, menyebabkan suri rumah berusia 40-an bersama lima daripada enam anaknya yang sedang tidur, hanya mampu menangis ketakutan melihat bahagian belakang rumah yang didiami keluarga mereka sejak 20 tahun itu dirobohkan secara tiba-tiba.
Ketika kejadian, suami mangsa yang bertugas di Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) mempunyai urusan kerja di Sabah, manakala seorang anak lagi tiada di rumah.

Usaha lelaki terbabit tinggal berjiran dengan adiknya itu, meroboh bahagian rumah berkenaan dibantu kira-kira 20 rakan yang mengawal keadaan, menyebabkan penduduk kampung yang bersimpati dengan keluarga mangsa, hanya mampu memerhati dari jauh.

Mangsa yang enggan namanya dikenali berkata, kejadian berlaku ketika beliau menyediakan sarapan, manakala lima anaknya berusia antara empat hingga 15 tahun sedang tidur.

“Secara tiba-tiba, pemandu jengkaut sambil diawasi beberapa lelaki bertindak merobohkan sebahagian rumah saya yang terletak atas lot milik abang sehingga saya takut keadaan keselamatan diri dan anak. 
“Saya bergegas mengejutkan semua anak keluar menyelamatkan diri kerana bimbang rumah roboh akibat tindakan itu dan kami hanya mampu menangis ketakutan,” katanya ketika ditemui media, semalam.

Kejadian itu menyebabkan keluarga berkenaan kini terpaksa tinggal menumpang di rumah ibu saudara mereka di kampung terbabit. 

Suri rumah itu berkata, beliau dan suaminya sudah menjangka rumah mereka akan dirobohkan kerana kedudukan sebahagian binaannya terletak atas lot milik abangnya tetapi tidak menyangka tindakan itu dilakukan kelmarin.

“Saya terkejut kerana tindakan abang dilakukan ketika suami tiada di rumah, malah kami sedih dengan dugaan yang terpaksa ditempuh menjelang Ramadan,” katanya.

Suri rumah itu berkata, walaupun sebahagian rumahnya dibina atas kawasan lot tanah milik abangnya, tetapi perjanjian lisan sebelum ini tidak menimbulkan masalah.

Katanya, kawasan tapak rumah itu asalnya tanah pusaka milik arwah ibu bapa mereka dan rumah didiaminya dibina ketika bapanya masih hidup.

Beliau berkata, disebabkan perselisihan keluarga, abangnya bertindak membawa isu lot tapak rumah itu ke mahkamah dan keputusan berpihak kepada abangnya.

“Kami sudah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu tetapi abang mendakwa mempunyai notis supaya tanah miliknya dikosongkan.

“Saya sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh. Sebenarnya, tanah ini terbahagi dua iaitu bahagian depan milik saya dan bahagian dapur pula milik abang seperti diputuskan mahkamah dan saya kini berserah kepada Allah,” katanya. 


Sumber : Berita Harian Online